Friday 28 October 2011

haiwan kesayangan saya

Haiwan Kesayangan Saya
Haiwan peliharaan merupakan binatang yang boleh dipelihara oleh setiap orang yang meminatinya. Tempat yang paling sesuai untuk memelihara binatang peliharaan ialah di rumah kerana rumah merupakan tempat perlindungan yang paling selamat, sesuai dan bersih. Haiwan peliharaan juga mempunyai perasaan macam manusia, iaitu ingin dimanja dan dibelai. Bukan kepada manusia sahaja kita boleh memberikan kasih sayang, malah kepada haiwan juga kita boleh menunjukkan kasih sayang dengan memeliharanya dengan baik.
Saya juga merupakan seorang yang meminati binatang. Pada hari jadi saya yang ke-12, saya mendapat hadiah yang paling istimewa dari ibu saya iaitu seekor arnab. Saya menamakan arnab saya Kiki kerana ia merupakan seekor arnab yang comel. Ia mempunyai bulu yang halus dan putih bersih. Kiki merupakan seekor arnab yang manja. Setiap petang, saya akan memberikan makanan dan bermain dengannya. Kiki hanya makan sayur kangkung. Jadi, tidak susahlah saya ingin mendapatkan sayur tersebut.
Pada suatu hari, selepas saya pulang dari beriadah dengan kawan saya di padang, saya ternampak seekor arnab berwarna hitam. Arnab itu kelihatan seperti sesat. Oleh itu, saya membawa arnab tersebut pulang ke rumah. Saya pun terfikir mungkin Kiki memerlukan teman untuk bermain sekiranya saya sibuk dengan kerja dan tiada masa untuknya. Saya menamakan arnab hitam itu, Kaka.
Walaupun baru seminggu Kiki dan Kaka bersama, tetapi nampak mesra sangat. Saya sayang sangat dengan arnab saya. Saya akan menjaga Kiki dan Kaka dengan sebaik-baiknya selagi saya mampu.

No comments:

Post a Comment